Sabtu, 12 November 2011

teknik Menjawab Alih Bentuk Teks Prosa Dialog.



Soalan no. 7, alih bentuk teks prosa dialog seperti yang terkandung dalam Peperiksaan  Percubaan STPM 2011 negeri Johor merupakan soalan yang paling popular dalam Peperiksaan STPM, 10 tahun kebelakangan ini. 

Beberapa kemahiran sangat perlu untuk menjawab soalan ini, terutamanya kemahiran menukarkan cakap ajuk kepada cakap pindah. Kebiasaannya, penukaran cakap ajuk kepada cakap pindah memerlukan calon mahir tentang Ayat Majmuk Pancangan Komplemen. Di sini, cikgu cuma memfokuskan kemahiran/proses untuk menjawab soalan  Soalan no. 7 Peperiksaan  Percubaan STPM 2011 negeri Johor sahaja.


7. Alih bentuk bahasa petikan di bawah ini ke dalam bentuk prosa biasa dengan memindahkan bentuk dialog ke dalam cakap pindah.


              “Menyusahkan kau saja, Fuad”
            “Ana” Fuad mencelah. “ Kalau betul kau kawan aku, aku harap kau tak cakap lagi perkara-perkara macam tu. Kau buat macamlah aku ni tak penting langsung bagi engkau, sedangkan pada pihak aku, kau sangat penting.”
              “Okey, maaf,maaf.”
           Mereka sama-sama terdiam. Fuad tersenyum kepada Farhana. “Aku tak marah, Ana.” Dia membetulkan.
             “Aku tahu. Kau memang takut nak marah aku.” Farhana tergelak kecil, lalu menekup mulutnya.
            “Mak sakit pun kau boleh bising lagi.” Fuad menjegil mata. “Eh, adik-adik kau di rumah siapa jaga?.”
            “Tak ada siapa. Mereka dah besar, pandai bawa diri. Lagipun mereka dah biasa macam ni. Mak memang selalu masuk hospital. Aku pula jauh,” terang Farhana.
            “Cuma kalau kau lapang, bolehlah kaujenguk mereka di rumah sekejap. Nak tidur di rumah pun tak apa. Tapi, faham-faham sajalah. Empat orang hero, rumah mesti macam kapal karam.”
            “Okey, nanti selepas maghrib aku pergi. Err…Ana, aku ingat nak tidur di sini saja, temankan engkau. Boleh tak?”
      

Pada pandangan cikgu, untuk menjawab soalan di atas, dan mungkin juga boleh diaplikasikan untuk soalan alih bentuk prosa dialog yang lain, calon perlu melalui beberapa proses. Saya juga cuba menunjukkan contoh yang berkaitan.


Proses 1 : Menentukan Watak.

Dialog mesti melibatkan watak. Dalam peperiksaan, biasanya terdapat 2 atau 3 watak. Kecuali wawancara, prosa dialog yang lain tidak dituliskan watak-watak bagi sesuatu dialog.Oleh itu, anda perlu menentukan dan menuliskan watak untuk dialog-dialog yang terdapat dalam soalan. Tindakan ini boleh mengelakkan anda daripada tersilap ketika mengalih bahasa nanti. Contohnya :

     “Menyusahkan kau saja, Fuad” (Farhana/Ana)
     “Ana” Fuad mencelah. “ Kalau betul kau kawan aku, aku harap kau tak cakap lagi 
      perkara-perkara macam tu. Kau buat macamlah aku ni tak penting langsung bagi 
      engkau, sedangkan pada pihak aku, kau sangat penting.” (Fuad)
     “Okey, maaf,maaf.” (Farhana/Ana)
Proses 2 : Tandakan "Kependekan Kata"

Kependekan kata merupakan ciri utama prosa dialog. Ciri ini tidak boleh ada lagi dalam alih bahasa anda. Anda mesti menulis dengan lengkap. Dengan menandakan kependekan kata, anda tidak lagi terlepas pandang tentang perkara ini. Contohnya :

Contoh 1 - “Ana” Fuad mencelah. “ Kalau betul kau kawan aku, aku harap kau tak (tidak) cakap lagi perkara-perkara macam tu (itu). Kau buat macamlah aku ni tak (tidak) penting langsung bagi engkau, sedangkan pada pihak aku, kau sangat penting.”

Contoh 2 -  Tak (tidak) ada siapa. Mereka dah (sudah) besar, pandai bawa diri. Lagipun mereka dah (sudah) biasa macam ni. Mak (emak) memang selalu masuk hospital. Aku pula jauh,”

Proses 3 : Tandakan Perkataan yang Tidak Ada Imbuhan.

Untuk makluman anda, kebanyakan perkataan dalam bahasa Melayu mengandungi imbuhan. Oleh itu, anda perlu meletakkan imbuhan pada kebanyakan kata dasar tersebut. Contohnya :
Contoh 1 -   “Tak ada siapa. Mereka dah besar, pandai bawa (membawa) diri. Lagipun mereka dah biasa macam ni. Mak memang selalu masuk hospital. Aku pula jauh,” terang Farhana.

Contoh 2 -  “Ana” Fuad mencelah. “ Kalau betul kau kawan aku, aku harap (berharap) kau tak cakap (bercakap) lagi perkara-perkara macam tu.

Proses 4 : Tandakan Kata Tanya.

Memandangkan hanya ayat penyata sahaja yang boleh digunakan dalam alih bahasa, maka tentunya tidak boleh ada kata tanya dalam ayat tersebut. Anda perlu menukarkannya kepada kata nama. Contohnya :
“Tak ada siapa. Mereka dah besar, pandai bawa diri. Lagipun mereka dah biasa macam ni. Mak memang selalu masuk hospital. Aku pula jauh,” terang Farhana.
(Farhana menerangkan bahawa tidak ada sesiapa...) atau (Farhana menerangkan bahawa tidak ada orang...)

Proses 5 : Mengesan Keterangan kepada Dialog.

Sebenarnya, keterangan kepada dialog sangat mudah dikesan. Keterangan ialah klausa/ayat yang tidak ada tanda pembuka dan penutup kata ("..."). Cikgu galakkan anda membawa keterangan pada bahagian hadapan ayat dalam alih bahasa anda. Contohnya :

Contoh 1 - “Aku tahu. Kau memang takut nak marah aku.” Farhana tergelak kecil, lalu 
                   menekup mulutnya.
                  (Sambil tergelak kecil, lalu menekup mukanya, Farhana mengetahui bahawa 
                    Fuad memang takut untuk memarahinya.)

Contoh 2 - “Tak ada siapa. Mereka dah besar, pandai bawa diri. Lagipun mereka dah biasa
                   macam ni. Mak memang selalu masuk hospital. Aku pula jauh,” terang Farhana.
                  (Farhana menerangkan bahawa tidak ada sesiapa yang menjaga adik-adiknya
                    dirumah.)
Proses 6 : Rujuk Tanda Baca.

Tanda baca seperti noktah (.), tanda seru (!) dan tanda tanya (?) boleh membantu anda memilih situasi sama ada menyatakan atau menyoal/ingin tahu/ ingin kepastian. Contohnya 

Contoh 1 - “Mak sakit pun kau boleh bising lagi.” Fuad menjegil mata. “Eh, adik-adik kau di 
                   rumah siapa jaga?.” - tanda soal - ?
                  (Fuad bertanya kepada Farhana tentang orang yang menjaga adik-adiknya di 
                   rumah. 
  
Contoh 2 - “Tak ada siapa. Mereka dah besar, pandai bawa diri .- tanda noktah (.)
                   (Farhana menyatakan bahawa tidak ada sesiapa yang menjaga adik-adiknya di
                    rumah.


Saya tunjukkan 3  contoh sebenar jawapan pelajar sekolah saya yang menunjukkan 3 tahap prestasi yang berbeza.  


Jawapan pelajar X.

“Menyusahkan kau saja. Fuad” kata farhana kepada fuad

Fuad mencelah. “ Ana, kalau betul kau kawan aku, aku harap kau tak akan cakap lagi perkara yang macam itu dan membuat aku ini tidak penting langsung bagi engkau, sedangkan aku berpihak kepada kau”. Kata fuad kepada farhana.

            Ana meminta maaf kepada fuad “okey, maaf,maaf”

            Farhana dan fuad berdiam seketika dan mengatakan yang fuad tidak memarahi farhana dan terima maaf farhana.

            Farhana berkata. “Aku tau kau memang takut nak marah aku”. Kata farhana kepada fuad sambil tergelak kecil dan memekup mukanya.

            Fuad menjeling matanya kepada Farhana dan berkata. “mak sakit pun kau boleh bising lagi. Eh, adik-adik kau di rumah siapa jaga ?

            Farhana menjawab. “Taka da siapa. Mereka dah besar, pandai bawa diri. Lagipun mereka dah biasa macam ni. Mak memang selalu masuk hospital. Aku pula jauh.” Terang farhana kepada fuad.

            Farhana berkata lagi. “Cuma kalau kau lapang, bolehlah kau jenguk mereka di rumah sekejap. Nak tidur di rumah pun taka pa. tapi faham-faham sajalah. Empat orang hero, rumah mesti macam kapal karam”

            Fuad menjawab. “ okey, nanti selepas magrib aku pergi. Emm…Ana, aku ingat nak tidur di sini saja, temankan engkau. Boleh tak ?. Fuad meminta kebenaran farhana tidur di situ.

Jawapan pelajar Y. 

Farhana memberitahu kepada Fuad bahawa beliau telah menyusahkan diri fuad sahaja.

            Dengan pantas Fuad mencelah percakapan Farhana. Fuad memberitahu kepada Farhana bahawa beliau adalah sahabatnya. Fuad berharap agar Farhana tidak mengulangi percakapan tentang perkara itu. Fuad juga memberitahu Farhana tidak pernah mengendahkan kehadiran fuad dalam kehidupan Farhana. Fuad juga memberitahu kepada Farhana bahawa beliau merupakan seorang yang penting dalam kehidupan Fuad.

            Dengan perasaan serba salah, Farhana meminta maaf kepada Fuad

            Mereka sama-sama terdiam. Fuad tersenyum kepada Farhana. Lantas Fuad memberitahu kepada Farhana bahawa beliau tidak marah terhadapnya. Dia membetulkan.

            Farhana memberitahu kepada Fuad bahawa beliau tahu bahawa Fuad tidak berani untuk memarahi Farhana. Farhana tergelak kecil, lalu menekup mulutnya.

            Dengan suara yang agak keras, Farhana memarahi adik-adiknya yang berada di rumah bahawa ibu mereka sakit tetapi mereka masih boleh berbuat bising. Fuad menjeling mata. Dengan suara yang agak rendah, Fuad bertanya kepada Farhana bahawa siapa yang akan menjaga adik-adiknya di rumah tatkala ibunya dan Farhana tiada di rumah.

            Farhana menerangkan kepada Fuad bahawa tiada sesiapa yang akan menjaga mereka kerana bagi Farhana, adik-adiknya sudah besar dan bijak membawa diri. Ini kerana, mereka sudah terbiasa dengan kehidupan seperti ini disebabkan ibunya yang sering keluar masuk ke hospital. Manakala Farhana pula tinggal berjauhan dengan mereka.

            Farhana memberitahu kepada Fuad bahawa tatkala beliau mempunyai masa yang terluang, bolehlah beliau ,melihat keadaan adik-adiknmya yang berada di rumah itu. Farhana juga memberitahu bahawa jika Fuad mahu tidur dirumahnya juga tidak ada masalah. Farhana juga   memberitahu kepada Fuad bahawa beliau perlu memahami akan situasi di rumahnya. Farhana menjelaskan kepada Fuad bahawa terdapat empat orang adik lelakinya yang agak pemalas dan menerangkan bahawa rumahnya mesti bersepah dengan pelbagai barang dan peralatan.

            Lantas, Fuad memberitahu kepada Farhana bahawa baiklah dan beliau akan pergi melihat rumah Farhana selepas maghrib habis. Dengan nada suara yang agak kaku dan gagap, Fuad meminta kebenaran kepada Farhana untuk tidur di hospital bagi menemani Farhana. Fuad ingin mengetahui jawapan yang akan diberikan oleh Farhana.

Jawapan pelajar Z.

            Farhana memberitahu bahawa dia telah menyusahkan Fuad. Fuad mencelah dengan ,memanggil Farhana. Fuad mengatakan bahawa seandainya Farhana ialah kawannya, dia berharap Farhana tidak bercakap tentang perkara itu lagi. Fuad juga mengatakan bahawa Farhana menganggap dirinya tidak penting sedangkan Farhana sangat penting bagi dirinya.

            Farhana meminta maaf kepada Fuad. Mereka sama-sama terdiam. Fuad tersenyum kepada Farhana. Fuad memberitahu bahawa dia tidak marah kepada Farhana. Fuad membetulkannya. Fuad memberitahu bahawa dia sudah tahu bahawa Fuad tidak memarahinya. Farhana juga memberitahu bahawa Fuad takut untuk memarahinya. Farhana tergelak kecil, lalu menekup mulutnya. Fuad menyatakan bahawa sikap Farhana yang bising walaupun emaknya sedang sakit. Fuad menjegilkan matanya. Fuad ingin tahu orang yang menjaga adik-adik Farhana di rumah. Farhana menyatakan bahawa tiada orang yang menjaga adik-adiknya. Farhana juga menyatakan bahawa adik-adiknya sudah besar dan pandai membawa diri. Farhana memberitahu bahawa adik-adiknya sudah terbiasa dalam keadaan begitu. Emaknya sering masuk hospital dan dia pula berada di tempat yang jauh.

            Farhana memberitahu bahawa sekiranya Fuad ada masa lapang, Fuad boleh menjenguk mereka di rumah sebentar. Farhana juga mengatakan bahawa sekiranya Fuad berkeinginan untuk tidur di rumah mereka, Farhana tidak kisah. Farhana menjelaskan bahawa jika Fuad tidur di rumah mereka, Fuad perlu faham situasi rumahnya yang seperti kapal karam kerana terdapat empat orang lelaki iaitu adiknya. Fuad menyatakan bahawa dia akan pergi ke situ selepas maghrib. Fuad juga memberitahu bahawa dia ingin tidur di situ sahaja kerana ingin menemankan Farhana. Fuad ingin tahu sama ada Farhana bersetuju atau tidak tentang keinginannya.

Jawapan-jawapan calon di atas mengandungi kesalahan bahasa dan tidak tepat sepenuhnya, tetapi saya yakin anda boleh menentukan jawapan yang lemah dan jawapan yang lebih baik.Banyakkan membuat latihan, lebih-lebih pada saat-saat akhir sebelum menduduki peperiksaan STPM. Orang kata "practice make perfect".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan