Isnin, 10 Oktober 2011

SYURGA-BALASAN UNTUK ORANG BERIMAN


“WAHAI Tuhan, kami memohon kepada-Mu keredaan dan syurga-Mu dan kami memohon perlindungan-Mu dari kemurkaan-Mu dan neraka-Mu.”

# Syurga ialah tempat nikmat yang kekal abadi disediakan bagi orang beriman, beramal soleh (melakukan kebaikan), bertaqwa, berbakti, sabar, beriman dengan ayat Allah, yang menyerah hanya kepada Allah dan membenarkan segala perintah Allah.


# Mengharapkan syurga dan memohon perlindungan dari neraka, itulah dasar kehidupan mukmin dalam hidupnya.

# Beriman dengan adanya syurga dan neraka adalah sebahagian daripada tuntutan iman.

# Malah menyakini adanya neraka dan seksaannya mendorong manusia menjauhi perkara yang dilarang Allah, sementara beriman dengan syurga mendorong seseorang untuk terus taat dan rajin beramal kepada Allah.


“Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka, bagi mereka syurga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun reda terhadap Allah, maka itulah kejayaan yang besar.” (al-Maaidah:119)

Kenikmatan syurga ialah kenikmatan yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh hati, tetapi Allah memberikan gambaran syurga dan nikmat dengan bandingan yang boleh didekati dan difahami oleh deria dan naluri manusia.

Nikmat syurga bermula dari Padang Mahsyar malah bakal penghuni syurga disambut dan diraikan. Mereka diiringkan ke pintu syurga dan dipersilakan masuk ke dalamnya. Pintu syurga dibuka untuk mereka manakala penjaga syurga mengucapkan salam kepada mereka.

# “Sejahteralah ke atas kamu, beruntunglah kamu, maka masuklah syurga ini, sedangkan kamu kekal di dalamnya.” (az-Zumaar:73)

# Syurga adalah tempat yang sangat mulia di sisi Tuhan, yang menguasai segala-galanya lagi berkuasa melakukan sekehendaknya, luasnya seluas langit dan bumi.


Dengan mata air terpancar, taman syurga yang terhidang dengan segala kelazatan adalah destinasi yang aman dan sentosa. Mereka yang menghuninya kekal di dalamnya, tidak akan merasai kematian lagi.

Terdapat pohon-pohon dan buahan. Sungai mengalir di bawah syurga. Ada air yang tidak berubah (rasa dan baunya). Terdapat beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang yang meminumnya dan beberapa sungai dari madu yang suci bersih.

Penghuninya dilayan anak muda yang beredar di sekitar mereka, yang cantik seolah-olah seperti mutiara yang tersimpan sebaik-baiknya.

“Dan diedarkan kepada mereka bejana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya) - (keadaannya laksana) kaca, (sedang ia) dari perak, pelayan-pelayan itu menentukan kadar isinya sekadar yang cukup betul dengan kehendak penggunanya dan mereka di dalam syurga itu diberi minum sejenis minuman yang campurannya daripada zanjabil - iaitu sebuah mata air di dalam syurga yang disebutkan sifatnya sebagai salsabil dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, apabila engkau melihat anak-anak muda itu nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan.” (al-Insaan: 15-19)

Di syurga juga terdapat teman-teman yang baik akhlaknya lagi cantik rupanya, iaitu bidadari yang hanya tinggal di tempat tinggal masing-masing. Bidadari ini cantik berseri seperti permata delima dan marjan. Kulit mereka putih melepak, cantik matanya, malah pandangannya tertumpu kepada mereka semata-mata.

Bidadari ini juga tidak pernah disentuh oleh manusia mahupun jin. Mereka bersenang lenang, bergurau senda di atas cadar hijau warnanya dan permaidani yang sangat indah. Golongan yang sangat bertuah ini disebut sebagai 'ashaabul yamiin' (golongan kanan).

2 ulasan:

  1. maklumat yang baik untuk dijadikan pedoman.
    terima kasih.
    singgah membaca n usha iklan.
    moga dpt bntu jana tabung.

    BalasPadam