Sabtu, 12 November 2011

teknik menjawab soalan rumusan bahasa melayu stpm

contoh:

5. Fahami petikan di bawah ini dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkaskan tanpa menjejaskan isi kandungannya. Rumusan hendaklah dibuat dengan menggunakan tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 170 hingga 180 patah perkataan. Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada aklhir jawapan. [20]

Dahulu,sampah sarap dibuang di dalam tong sampah atau di merata-rata tempat dan dianggap tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada manusia. Kini dengan adanya kemajuan sains dan teknologi,sampah sarap masih boleh digunakan kerana bahan tersebut dapat dikitar semula. Proses ini melibatkan proses mengumpul, memproses dan menggunakan semula bahan-bahan yang terbuang. Walaupun begitu,bahan-bahan yang tertentu sahaja dapat dikitar semula. Antaranya surat khabar lama, majalah lama, botol, kaca, aluminium dan plastik. Bahan-bahan yang terbuang ini merupakan punca berlakunya pencemaran alam sekitar.
Berbagai-bagai bentuk kempen telah dilakukan oleh pihak kerajaan sama ada kempen secara bergerak di seluruh negara atau melalui iklan-iklan di televisyen, akhbar dan majalah. Kempen ini diadakan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya kitar semula. Melalui program kempen secara intensif, masyarakat kini mula memperlihatkan tanda positif tentang usaha yang dijalankan itu. Orang ramai mula peka akan kepentingan kitar semula ini walaupun terpaksa memakan masa yang agak lama untuk membina sikap yang positif terhadap perkara tersebut.
Sampah merupakan bahan yang berharga dan bernilai selain bahan-bahan yang kita buang setiap hari. Bahan bernilai yang kita buang ini jika dikitar semula akan lebih meningkatkan lagi nilainya dengan penghasilan barangan baharu yang diperlukan dalam kehidupan manusia. Langkah ini juga secara tidak langsung akan mengurangkan pengimportan bahan-bahan kitar semula dari luar negara, khususnya dari negara Australia, Amerika Utara dan Singapura. Pengurangan import tersebut juga sekali gus mengurangkan pengaliran wang ke luar negara.
Warganegara yang bertanggungjawab harus mengambil tahu tentang kepentingan penjagaan kebersihan alam sekitar. Mereka juga seharusnya menyedari bahawa pembuangan sampah-sarap yang sewenang-wenangnya akan mencemarkan dan mengotorkan alam sekitar yang seterusnya memberikan gambaran buruk kepada pelancong asing yang melawat ke negara kita. Dengan situasi yang demikian, industri pelancongan di negara kita ini akan terjejas dan negara kita akan hilang sumber pendapatan.
Dari aspek lain pula,program kitar semula dapat menjimatkan kos penyelenggaraan yang meliputi kos kawasan pelupusan sampah, kerja-kerja pengutipan sampah dan mengurangkan kos pertambahan lori sampah. Kos tersebut penting untuk dimanfaatkan kepada aktiviti yang lain untuk kepentingan orang ramai. Melalui program kitar semula juga,masalah kekurangan ruang dapat diatasi. Hal ini demikian kerana program ini dapat menyelamatkan ruang pelupusan sampah dan kawasan berkenaan boleh digunakan untuk pelbagai tujuan.
Kitar semula kertas dapat mengurangkan bilangan pokok yang ditebang.Sebelum ini kita perlu menebang sebanyak 17 batang pokok untuk menghasilkan satu tan kertas. Bayangkan kalau proses penebangan untuk pembuatan kertas berterusan selama-lamanya. Kepentingan hutan hendaklah difahami. Kita seharusnya memelihara hutan untuk tatapan generasi masa akan datang. Selain itu, hutan merupakan salah satu sumber yang istimewa dan merupakan pembekal oksigen kepada manusia dan semua makhluk yang hidup di muka bumi ini.
Sampah ialah bahan yang boleh menjejaskan kesihatan orang ramai dan mencacatkan persekitaran. Kawasan yang bersih akan menjadi kotor. Jika sampah dibiarkan begitu sahaja dan dikumpulkan sebelum dilupuskan, tempat tersebut akan menarik minat haiwan pembawa kuman dan penyakit, terutama burung gagak dan tikus.Oleh sebab itu, melalui program kitar semula kita dapat mengelakkan pengumpulan sampah dan bawaan penyakit dan sekali gus dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.


(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Dewan Kosmik, Januari 2002)

Skema jawapan 

IDEA UTAMA:Kitar semula melibatkan usaha mengumpul,memproses,dan menggunakan bahan-bahan yang terbuang itu semula.Bahan-bahan ini merupakan punca berlakunya pencemaran alam sekitar.


IDEA SOKONGAN 1: Berbagai-bagai bentuk kempen dilakukan oleh kerajaan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan kitar semula.Kini,orang ramai mula positif tentang program tersebut.

IDEA SOKONGAN 2: Sampah yang kita buang,jika dikitar semula boleh meningkatkan lagi nilainya apabila menghasilkan barang-barang baharu.Hal ini boleh mengurangkan pengimportan bahan-bahan kitar semula dari luar negara.

IDEA SOKONGAN 3: Pembuangan yang sewenang-wenangnya boleh mencemarkan alam sekitar dan boleh menjejeskan industri pelancongan negara,Selain itu ruang pelupusan sampah dapat diselamatkan.

IDEA SOKONGAN 4: Program kitar semula dapat menjimatkan kos dari segi penyelenggaraan kawasan pelupusan,kerja-kerja memungut sampah,dan kos pertambahan lori sampah.

IDEA SOKONGAN 5: Kitar semula kertas dapat mengurangkan bilangan pokok yang ditebang untuk menghasilkan kertas.Proses penebangan harus dikawal kerana hutan merupakan sumber oksigen kepada semua hidupan di muka bumi ini.



KESIMPULAN

Sampah boleh menjejaskan kesihatan dan kebersihan persekitaran.Oleh sebab itu,program kitar semula dapat mengatasi masalah berlakunya pengumpulan sampah dan bawaan penyakit dan sekali gus dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan