Ahad, 2 Oktober 2011

TIDAK SEMUA MUSIBAH BEERTI KEMURKAAN ALLAH

Wahai Ukhti Muslimah, musibah menurut Islam mempunyai makna serta pengertian yang luas. Tidak setiap musibah bererti kemurkaan daripada Allah, sebagaimana tidak setiap nikmat adalah ujian daripada Allah. Ini terserah kepada sejauhmana keimanan manusia menerimanya, betulkah ia seorang mukmin sejati atau hanya beriman di mulut sahaja. Firman Allah SWT yang bermaksud : Adakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan dengan berkata; " Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diberi cubaan? Dan sesungguhnya Kami telah mencuba orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta" (Al-Ankabut: 2-3)
Ayat tersebut bermaksud memberi penjelasan atas tanggapan salah sebahagian manusia bahawa mereka cukup dengan hanya berkata dimulut tentang keimanan mereka. Padahal pengakuan mulut itu bukanlah satu bukti bagi keimanan seseorang, tetapi mestilah melalui cubaan atau ujian. Umat-umat yang dahulupun telah dicuba Allah dengan pelbagai bentuk ujian, maka ketika itulah baru jelas siapa yang berkata bohong dan yang berkata benar. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Nescaya kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian dan kepada Kamilah kamu akan dikembalikan" (Al-Anbiya':35)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Luar biasa betul keadaan orang-orang yang beriman, semua urusannya adalah kebaikan. Tidak ada manusia yang menyamai orang yang beriman. Apabila ia beroleh kesenangan ia lalu bersyukur, maka ia mendapat balasan pahala. Apabila ia ditimpa musibah lalu ia bersabar, maka ia diberikan pahala." (HR. Muslim)
Wahai Ukhti Muslimah, kadangkala musibah yang menimpa seseorang itu adalah amaran jika ia melakukan dosa, supaya ia tidak berterusan dalam kemaksiatannya, sedar dan insaf seterusnya kembali kepada ajaran Islam, yakni patuh kepada Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul kepada umat-umat sebelum kamu, kemudian Kami timpakan ke atas mereka penderitaan dan kemelaratan supaya mereka merendah diri." (Al-An'am: 42)
Ayat-ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah SWT telah mengutus Rasul-Rasul kepada umat-umat sebelum umat Muhammad, tapi mereka tidak mengendahkan seruan para Rasul itu. Maka Allah SWT menimpa kesusahan dan kesengsaraan ke atas mereka, supaya mereka insaf dan menyedari kesilapan mereka dan kembali kepada Allah SWT. Jadi musibah yang menimpa mereka itu bukanlah seksaan semata-mata tapi ia adalah amaran atau peringatan agar mereka jangan berterusan dalam dosa yang mereka lakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan